KOTA KINABALU: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Lajim Ukin menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Sabah pada pukul 6.23 pagi tadi akibat jangkitan Covid-19.

Perkara itu disahkan oleh isterinya, Datin Seri Normilah Siong ketika dihubungi wartawan Utusan pagi tadi.

Katanya, beliau menerima panggilan daripada pihak hospital yang memaklumkan suaminya meninggal dunia pada 6.23 pagi tadi.

Jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Kebatu, Beaufort untuk dikebumikan.

Pengerusi Eksekutif Amanah Ikthiar Malaysia (AIM) itu disahkan positif Covid-19 pada 12 Ogos lalu dan dimasukkan ke hospital swasta berkenaan sejak 13 Ogos lalu.

Apabila keadaan kesihatannya semakin merosot, beliau mula ditidurkan pada pukul 2 petang, 24 Ogos lalu.

Lajim, 66, turut menghidap penyakit kronik termasuk penyakit jantung, buah pinggang dan darah tinggi.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet Persekutuan antaranya sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan pada 2008-2009 dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2009-2012.

Beliau merupakan bekas Ahli Parlimen Beaufort pada 2009-2012 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias pada 2013-2016.

Beliau pernah menjadi ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah pada 2013-2016 semasa beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Agak mengejutkan pengarang apabila diberitahu hal pemergian beliau awal pagi tadi oleh wartawan, Raiza Khairina.

Justeru, seluruh warga media SUKSES News menzahirkan rasa dukacita serta takziah kepada seluruh ahli keluarga Datuk Seri Lajim Ukin yang telah kembali ke rahmatullah.

Pengalaman ketika mewawancara beliau di Parlimen dulu tidak akan dilupakan. Ia adalah memori yang mahal harganya.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan bertaqwa.

Dalam kenangan sewaktu mewawancara Datuk Seri Lajim Ukin di dalam bangunan Parlimen. Waktu itu beliau sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Kredit foto utama: Sinar Harian