LONDON: Pesakit COVID-19 lebih berisiko mengalami pembekuan darah berbanding penerima suntikan vaksin AstraZeneca Plc atau Pfizer Inc, menurut kajian di United Kingdom (UK).

Bagi setiap 10 juta orang penerima dos pertama AstraZeneca, jumlah yang akan mengalami sindrom pembekuan darah ialah 66 kali lebih ramai berbanding dalam keadaan biasa, menurut kajian diterbitkan Jurnal Perubatan British.

Secara perbandingan, berlaku 12,614 lebih banyak kes pembekuan darah dalam kalangan 10 juta pesakit COVID-19.

Kajian itu dilakukan terhadap 29 juta orang yang menerima dos pertama vaksin AstraZeneca atau Pfizer antara Disember 2020 dan April selain dengan menjejak sekitar 1.7 juta pesakit COVID-19.

Dapatan ini menyokong keputusan untuk terus menggunakan vaksin AstraZeneca, yang sebelum ini keselamatannya dikhuatiri bagi melindungi pesakit daripada dimasukkan ke hospital dan kematian.

Penyelidik bersama kajian itu, Profesor Aziz Sheikh dari Universiti Edinburgh, berkata penyelidikan itu menunjukkan betapa pentingnya bagi mendapatkan vaksin untuk mengurangi risiko pembekuan darah dan pendarahan.

Penyelidik mendapati mereka yang dijangkiti virus itu hampir sembilan kali ganda berkemungkinan mempunyai kadar platelet rendah berbanding dengan orang yang diberi dos pertama vaksin.

Tinjauan mengenai risiko angin ahmar dalam kajian itu mendapati kemungkinan virus menyebabkan angin ahmar lebih tinggi berbanding penerima dos pertama vaksin yang dihasilkan Pfizer bersama BioNTech SE.

Data yang diterbitkan pada Julai turut menunjukkan vaksin AstraZeneca tidak meningkatkan risiko itu selepas dos kedua.

Sementara itu, Jurnal Perubatan New England mendapati penggunaan vaksin keluaran Pfizer dan BioNTech meningkatkan sedikit risiko radang jantung tetapi risiko itu lebih tinggi bagi mereka yang dijangkiti coronavirus itu.

Dalam setiap 100,000 orang yang menerima vaksin itu, seorang hingga lima berkemungkinan menghidapi myokarditis, yang mereka tidak akan alami jika tidak mengambil vaksin itu.

Secara keseluruhannya, 21 orang dilaporkan mengalami myokarditis dalam kumpulan sudah divaksin, kebanyakannya lelaki muda, berbanding enam orang dalam kalangan tidak divaksin.

Namun, kadar itu lebih tinggi iaitu 11 dalam setiap 100,000 orang yang dijangkiti COVID-19.

Data itu dikeluarkan beberapa hari selepas Pfizer menjadi vaksin pertama mendapat kelulusan penuh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS), sekali gus mendorong lebih ramai yang sebelum ini ragu-ragu, mendapatkan vaksin itu. – AGENSI
.
Sumber: Berita Harian