Sejak dua menjak ni saya banyak menulis mengenai kematian mendadak.
Seperti yang telah saya ceritakan, kematian mendadak ini amat merbahaya. Kerana dirisaukan si mati tidak sempat untuk mengucap kalimah syahadah, tidak sempat untuk bertaubat, tidak sempat untuk meminta ampun maaf dan tidak sempat untuk menyelesaikan urusan dunianya yang lain.
Pentingnya agar seseorang itu mendapat mati husnul khotimah supaya dapat mati dalam keadaan akhirul kalamnya mengucap kalimah syahadah atau sekurangnya “Laa ilaha illa ALLAH”.
Kerana sabda Rasulullah SAWAW di dalam hadis yang bermaksud;
“Barangsiapa yang mengucap kalimah “Laa ilaha illa ALLAH” pada akhir kalamnya, maka ia masuk ke syurga.”
…
Kata Almarhum salah seorang guru saya, hendak mendapat mati husnul khotimah ini penting pada amalan. Ada satu amalan yang perlu kita baca dengan selalu antaranya doa seperti yang saya catatkan di dalam gambar berikut.
Amalan doa ini amat mudah untuk diamalkan semua orang. Doanya sangat ringkas dan tidak membebankan. Hanya perlu dibaca sekurang-kurangnya satu kali sahaja setiap kali solat. Cara bacanya sama seperti di dalam gambar, sama ada selepas bacaan tahiyyat akhir sebelum salam atau selepas habis solat fardhu ketika berdoa.
Doanya berbunyi;
ALLAHumma Baarik li fil Maut, wa Fii Maa Ba’dal Maut…
Ertinya;
Ya ALLAH berkatilah bagiku pada kematian ku, dan pada selepas kematian ku.
…
Ijazah dan sanad doa ini saya terima daripada Almarhum Tuan Guru Hj Ghazali Hasbullah Darul Atiq. Kata Almarhum Tuan Guru, doa ini diajarkan kepadanya oleh ayahandanya dan diterima pula daripada atuknya.
Menurut anakanda Almarhum, doa ini juga tercatat di dalam sebahagian hadis Baginda Rasulullah SAWAW. Tercatat mafhum hadis tersebut adalah seperti berikut;
“Barang siapa membaca doa ini 25 kali sehari, maka beroleh ia mati syahid.” Riwayat Thabrani.
Kata anakanda Almarhum lagi, amalan ini dibaca 25 kali pada waktu pagi selepas subuh dan 25 kali pada malam hari selepas maghrib. Maka mudah bagi seseorang itu beroleh mati husnul khotimah.
…
Kata Allamah Tuan Guru Hj Muhammad Zaini Abdul Ghani yang terkenal dengan gelaran Abah Guru Sekumpul;
Barang siapa membaca amalan ini pada waktu pagi 25x dan pada waktu petang 25x, maka dipermudahkan urusan dan dilorongkan oleh ALLAH kepadanya akan mati husnul khotimah.
…
Maka warid amalan ini daripada pelbagai alim ulama bahawa ia dapat membantu kita semua untuk beroleh kematian yang husnul khotimah. Amalannya juga amat mudah dan senang untuk diamalkan.
Maka oleh itu, bacalah doa ini pada setiap hari terutamanya 1x setiap selepas solat dan jika anda sempat, bacalah 25x pagi dan 25x petang hari nya.
Mudah-mudahan kita semua dijauhkan daripada kematian yang mendadak dan beroleh kematian husnul khotimah. Mudahan mati kita sempat bertaubat dan dapat mengucapkan kalimah syahadah pada akhir kalam kita.
Hafal lah dan amalkan lah amalan ini. Ringkas dan pendek sahaja. Tidak sukar untuk diamalkan. Jom sama-sama baca dan jangan bertangguh lagi. Kerana sudah tiba masanya banyak kematian mendadak berlaku ketika ini.
Moga kita dijauhkan daripada kematian yang mendadak dan dikurniakan oleh ALLAH akan mati Husnul Khatimah…. 🤲
Sekian.
Fb Muhammad Mamzah
30 Ogos 2021
